Kirmizi Sevgisi ( Semangat Yang Hilang )

semangat yang hilang (edisi terbit)

Mac 21, 2008 · Tinggalkan Komen

Narration of Tok Ketua

 

TOK KETUA:

 

Sebuah desa tidak bernama. Itu nama untuk kampong ini. Seperti tidak ada masa depan. Kusam. Suram ke seluruh waktu. Ketika siang. Atau malam.

 

Di sini, hidup tidak ada tujuan. Hanya taruhan. Menyerah diri kepada untung rugi yang ditentukan nasib. Dari mana berasal? Untuk apa ke sini? Siapa? Apa? Mengapa? Bagaimana? Ke mana tujuan hidup ini? Sengaja tidak mahu dijawab kerana tidak tahu hendak menjawabnya. Tidak tahu kerana yang menjalani kehidupan di sini, jahil jahil belaka. Jahil bermana bodoh. Bukan sahaja bodoh tetapi jahat. Tidak mahu belajar tetapi mahu hidup seperti orang bijaksana atau hikmah.

 

Tidakkah itu shaitan. Iblis. Ju-on. Lansuir. Penunggu. Atau jelmaan yang hitam hitam. Yang engkar! Yang akan dilaknati! Dibedil. Tikam. Besit. Terjang. Belasah. Apa sahajalah. Lahir dari kehendak yang amarah. Ah, baru aku sedar, mengapa Tuhan mengatakan shaitan akan direjam. Dihumban ke lubang neraka yang dalam!

 

Juga, sebuah hari tidak bertahun. Itu catitan yang aku kutip. Seperti tidak ada cahaya. Tidak ada nur. Lights. Hidayah. Petunjuk. Atau pembimbing untuk sepanjang jalan. Ketika lurus. Atau bersimpang siur.

 

Kerananya, aku tidak mahu berbuat apa apa lagi. Hanya, mahu memastikan aku terus berkuasa. Bukan untuk berbakti. Atau berkorban untuk orang lain. Tidak ada gunanya. Aku tidak perlu membuat kebaikan. Tidak ada kebenaran bila kebaikan itu dikatakan akan dibalas dengan kebaikan juga. Di sini, falsafah itu tidak pernah terbukti. Di sini, kebanaran hanya milik orang berkuasa. Bukan juga orang yang berilmu. Atau mereka yang merasai diri mereka pandai. Ahli atau hikmah.

 

Kerananya, aku telah diangkat sekali lagi sebagai ketua. Tok Ketua. Iaitu orang yang paling tua. Dan orang yang paling berkuasa. Apalagi yang aku perlu? Segala mahkota di atas kepalaku. Akulah raja. Yang dipertuankan orang lain. Kerana mahukan limpahan harta yang aku miliki. Untuk kesenangan hidup. Atau kebahagian yang tidak pernah kehilangan nikmat. Haha, aku berkata kata seperti aku baru sahaja merasainya. Ia, memang aku baru sahaja merasakan manisnya madu yang mereka tinggalkan.

 

Mereka telah kehilangan adab. Adab ialah pancaran kebijaksanaan. Tidak hanya berpengetahuan. Kerana ada orang yang ahli atau berpengetahuan tetapi tidak mempunyai adab atau pancaran kebijaksanaan. Kehilangan adab menyebabkan seseorang itu juga akan kehilangan ahli atau hikmah. Dr. Jiwa. Dia aku sebutkan sebagai contoh. Atau bukti kepada apa yang aku fikirkan.

 

Jadi, mengapa aku harus mempercayai yang lain lain. Mak Ayu. Dia tidak boleh hidup lama. Malah, jika dia tidak dibunuh, usianya sendiri telah dimamah, sudah berkerut atau telah hidup bertahun tahun. Lara atau Jahil? Tidak mungkin aku boleh memegang kata kata orang seperti Jahil. Namanya sendiri, Jahil. Ini bukan nama orang melayu. Ini nama orang arab dan orang arab sendiri tidak meletakkan perkataan ini di dalam nama anak anak mereka kerana maksudnya ialah bodoh. Tidak ada orang yang mahu anak anak mereka dipanggil bodoh.

 

Lara. Dia juga tidak sekolah. Tidak sekolah beerti dia tidak cintakan ilmu pengetahuan. Malah, anti kepada perkara atau hal hal yang berhubung dengan ilmu dan fikrah. Manusia seperti ini sangat jelas untuk digambarkan seperti mayat yang hidup. Dia telah jauh tersimpang. Jatuh, sesat, sasau, karut dan lilau. Apalagi mahu berlaku jujur?

 

Aku? Amanah yang aku pikul? Untuk mengarahkan. Atau memberi pengarahan kepada jalan jalan kebaikan. Tidaklah aku lakukan. Yang aku lakukan adalah sebaliknya. Mengarahkan. Atau memberi pengarahan kepada jalan jalan kejahatan. Kerana aku juga ialah sebahagian daripada kejahilan yang telah berpekung, sekian lamanya. Sebelum aku hidup. Atau menjadi ketua di kampong yang sial ini!

 

Saudara, saudari sekelian, ibu, bapak, adik kakak..

 

Inilah gambaran masharakat di dalam kampong ini. Bukan untuk menjadi ikutan. Tetapi menjadikan kami sempadan. Kerana inilah gambaran watak watak manusia yang disifatkan sebagai shaitanl. Devil. Sang iblis. Satan. Lucifer. Spirit. Azazil. Atau Le Diable. Dia telah diberi usia yang panjang, sepanjang hayat seluruh kejadian yang lain, setelah hancurnya, untuk menghantui kehidupan yang tidak bercahaya yang diciptakan untuk aku dan yang lain lain..

 

Aku hanya memberitahu apa yang berlaku. Setelah hari ini, aku sedar aku kehilangan apa yang aku miliki sebelum ini. Aku dapat merasai bahawa aku akan dikhianati. 

Kategori: Uncategorized

0 responses so far ↓

  • Tidak ada komen buat masa ini...Sila isikan borang dibawah ini.

Tinggalkan Komen